Feb 26, 2013

KURSUS PRA KELULUSAN BANTUAN MODAL USAHAWAN LZS

Kursus Pra Kelulusan Bantuan Modal Usahawan ini disediakan oleh Grow Management & Services (GMS) bertujuan untuk membantu pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengetahui perjalanan kursus selama dua hari satu malam yang telah dijalankan dengan jayanya diNur Bukit Unggul Resort, Sepang pada 23 dan 24 Februari 2013. Selain itu laporan ini juga adalah bertujuan bagi membantu pihak LZS untuk memilih bakal usahawan yang berpotensi untuk diberikan bantuan dan sokongan melalui ulasan serta rumusan yang disediakan oleh pihak GMS berdasarkan prestasi peserta sepanjang program. Laporan disediakan dalam bentuk ringkasan,carta, jadual serta graf analisa bagi memudahkan pihak LZS mengetahui statistik profil, tahap kepuasan hati peserta tentang perjalanan kursus dan modul yang disediakan serta markah pencapaian usahawan dalam borang-borang ujian yang diberikan sepanjang program berlangsung. Statistik ini dapat membantu dalam pemantapan program keusahawanan oleh pihak LZS pada masa akan datang.

Pendekatan yang dilakukan oleh pihak GMS pada program ini adalah lebih tertumpu kepada modul-modul serta aktiviti berkumpulan dan ujian.Melalui modul-modul yang telah dijalankan, usahawan yang memiliki komitmen dan kesungguhan yang tinggi untuk menjadi usahawan berjaya akan dicungkil dan diharapkan mereka akan diberikan bantuan untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Seramai 59 orang peserta telah menyertai program ini yang terdiri daripada 21 orang peserta lelaki dan 38peserta wanita. Peserta juga adalah dari peringkat umur 18 sehingga 73 tahun yang secara keseluruhannya adalah berniaga dan hanya segelintir yang terlibat dalam pengangkutan, perikanan dan pertanian.

Selama dua hari satu malam kursus ini dijalankan, En Amizar Bin Abu Adam dan di bantu oleh penceramah yang lain bertanggungjawab  sebagai penceramah serta dibantu oleh fasilitator untuk melatih usahawan didalam modul yang telah dirangka.


Pihak GMS secara tulusnya memberi sokongan kepada 59 orang peserta kali ini untuk mendapat pertimbangan dari pihak LZS bagi pemberian modal memulakan perniagaan. Ianya berdasarkan keyakinan pihak kami bahawa peserta-peserta ini mampu memanfaatkan bantuan modal dari pihak LZS dengan sebaiknya melalui pemantauan oleh pegawai kami. Pihak GMS mencadangkan agar jumlah bantuan yang bakal diberikan oleh LZS adalah wajar dan berpadanan dengan perniagaan peserta. Menurut pihak GMS sebagai pihak perunding, jumlah bantuan dicadangkan adalah tidak melebihi RM15,000 walaupun terdapat peserta yang memohon dalam jumlah yang lebih tinggi.