Mar 23, 2012

BENGKEL PEMANTAPAN MODAL INSAN "FRONTLINER" BARISAN HADAPAN MOA

BENGKEL PEMANTAPAN MODAL INSAN “FRONTLINER” BARISAN HADAPAN KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI
DI HOTEL BUSTANI, JITRA KEDAH
(17 MAC 2012 HINGGA 18 MAC 2012)


Laporan perlaksanaan Bengkel Pemantapan Modal Insan “Frontliner” Barisan Hadapan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini disediakan oleh Citra Global Enterprise Sdn Bhd bertujuan untuk memberi informasi mengenai perjalanan program selama dua hari satu malam yang telah dijalankan dengan jayanya bertempat di Hotel Bustani, Jitra, Kedah. Selain itu laporan ini juga adalah bertujuan bagi membantu pihak NATC untuk mengetahui keberkesanan bengkel ini kepada para peserta. Laporan disediakan dalam bentuk ringkasan,carta, jadual serta graf analisa bagi memudahkan pihak NATC mengetahui statistik profil, tahap kepuasan hati peserta tentang perjalanan bengkel dan modul yang disediakan. Statistik ini dapat membantu dalam penambahbaikan bengkel oleh pihak NATC pada masa akan datang.

Bengkel ini dihadiri oleh barisan hadapan kakitangan kementerian seramai 84 orang daripada pelbagai jabatan dengan bilangan 41 orang lelaki dan 43 orang perempuan. Antara jabatan dan agensi yang terlibat dalam bengkel ini ialah Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Penyelidikan dan Pembangunan Agrikultur Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Agrobank. Bengkel ini diadakan untuk memantapkan lagi gerak kerja kakitangan yang bertindak sebagai barisan hadapan dengan kumpulan sasaran. Sebanyak 10 sesi telah direncanakan untuk para peserta manakala tujuh orang panel dijemput khas untuk penyampaian sesi bengkel. Antara panel tersebut ialah En Amizar Abu Adam, Biro Aduan Dewan Perniagaan Melayu Selangor Malaysia, Puan Roziah bte Abudin, Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Puan Nor Zawatil Amali bin Alias, Pegawai KPI Menteri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Puan Hajjah Latifah Hj Ahmad, Pengurus Bank, Agrobank Kodiang, Puan Hanis Bt Abdullah, Pengurus Tekun Parlimen Kubang Pasu, Puan Hanisah Hussin, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Industri Tanaman, Ternakan dan Perikanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Prof Dr Rozieta Shaary, Pakar Pembangunan Modal Insan.